Ada yang berpendapat umur antara 1 hingga tiga tahun adalah masa untuk anak-anak bermain dan bebas menerokai keseronokan, tanpa perlu memaksa mereka untuk belajar.
Mungkin ada yang bersetuju, ada juga yang kurang setuju, kan?
Masing-masing ada pendapat sendiri dalam bagaimana hendak membesarkan dan mendidik anak-anak.
Namun tidak ada salahnya untuk ibu bapa memupuk minat anak-anak untuk minat belajar dan suka dengan buku dan ilmu.
Tidak dinafikan memaksa anak untuk tekun belajar pada waktu yang sepatutnya di rumah agak sukar buat ibu bapa.
Mungkin tahap ketekunan mereka hanya sekejap dan kemudiannya beralih fokus kepada perkara lain.
Seorang ibu, Diyana Jamal berkongsi kaedah yang dilakukan terhadap anaknya yang berusia lima tahun untuk memupuk minat belajar.
1.Beli alat tulis
Diyana berkata beliau mula membeli alat tulis seperti buku dan pensil ketika anaknya berusia tiga tahun untuk memberikan kebebasan kepada anaknya, Damia untuk berkreativiti.

2.Biar anak luah kreativiti dalam buku, dinding
Siapa tak marah tengok dinding rumah berconteng-conteng, penuh warna dan corak?
Namun kita perlu faham bahawa dalam fasa ini, anak-anak sedang aktif berimaginasi dan mindanya berkembang.
Kalau anda bimbang dinding kotor, tampal dinding anda dengan kertas putih dan biarkan mereka menconteng sebebasnya.
3.Ada dengan mereka
Tahukah anda, apabila ibu atau bapa berada di sisi anak-anak ketika mereka sedang belajar atau berkreativiti, secara tidak langsung akan menyuntik semangat dan mood kepada mereka.
Beri perhatian kepada mereka dan saling berkomunikasi tentang apa yang sedang mereka lakukan.
4.Keseronokan
Anda kena tahu apa yang boleh memupuk keseronokan anak-anak untuk belajar. Ada yang tak suka dalam suasana bising, ada yang suka belajar sambil tv terpasang.
Yang penting, anda perlu sabar dan lihat perkembangan dan minatnya.

5.Elak sebut ‘Jangan’
Bukankah kata-kata yang baik akan memberi hasil yang baik juga?
Jadi sebagai ibu bapa, cuba elakkan menyebut ‘Jangan’, seperti ‘jangan malas belajar’ dan ‘jangan tengok tv’.
Ini akan memberi tekanan kepada mereka. Sebaliknya cuba ubah perkataan kepada sesuatu yang positif, misalnya ‘Jom belajar’ dan ‘jom menyanyi’.
Selamat mencuba!