Berpantang secara tradisional telah menjadi amalan ibu selepas bersalin di Malaysia.
Kaedah rawatan lepas bersalin seperti menggunakan tapel, param dan pilis adalah rawatan trandisional turun temurun adalah amalan yang dipercayai baik untuk tubuh badan ibu selepas bersalin.
Apakah perbezaan antara tapel, param dan pilis?
1. Tapel
Tapel adalah ramuan yang harus dipakai pada bahagian perut sebelum mengenaikan bengkung.
Banyak kelebihan menggunakan tapel pada perut, antaranya:
- Mengurangkan rasa sakit-sakit di perut serta memulihkan keadaan luaran perut akibat selulit / stretch mark
- Membantu proses pembakaran lemak bawah kulit dan mengempiskan perut
- Menghangatkan perut dan membuang ‘angin’ serta darah kotor yang berada di dalamnya
- Menegangkan kulit perut yang menggeleber
Bahan yang selalu digunakan dalam ramuan tapel adalah tepung beras, kapur sirih, air limau nipis, kencur, dan kayu manis.
Tapel selamat digunakan oleh ibu yang bersalin secara normal.
Jika ibu menjalani pembedahan, luka bersalin haruslah diyakini kering dan tidak bermasalah.
Sekurang-kurangnya, tunggu dua minggu dan sila dapatkan nasihat doktor sebelum memakainya.

2. Param
Param adalah sejenis rawatan sapuan pada seluruh badan, kecuali daerah payudara dan perut.
Antara khasiat param adalah:
- Membantu melancarkan peredaran darah
- Mengelakkan ‘angin’ masuk ke dalam badan
- Memberi kehangatan kepada tubuh
- Memberikan kesegaran
- Menjaga kecantikan luaran kulit
Antara tujuan utama memakai param adalah untuk mengatasi pembengkakan yang dialami oleh ibu yang baru melahirkan.
Ia boleh digunakan selepas mandi, sebanyak dua kali sehari selama 40 hari setelah melahirkan.
Pada asasnya, param terdiri daripada beras yang direndam dan dicampur dengan bahan-bahan seperti kencur, sirih, halia, cendana, bawang putih, kunyit, kulit limau purut, dan beberapa jenis herba lagi.
3. Pilis
Pilis pula adalah campuran herba yang khusus untuk disapukan pada dahi.
Antara kebaikan memakai pilis untuk ibu berpantang adalah:
- Meredakan pening kepala
- Melancarkan peredaran darah
- Menyegarkan mata dan memberi keselesaan pada ubun
- Mengurangkan rasa pitam / ‘gelap mata’ / pandangan kabur. Ini biasanya dialami oleh wanita yang mengalami tekanan darah tinggi
- Mengelak ‘angin’ yang boleh menyebabkan tekanan emosi
Seperti param, pilis juga seeloknya digunakan selepas mandi, dua kali sehari, sehingga hari ke-40 berpantang.
Bahan asasnya adalah tepung beras yang dicampurkan dengan ramuan herba seperti kencur, kunyit, kenanga,daun pudina, halba, kapur sirih, air limau nipis dan sebagainya.
Walaupun anda mungkin merasakan amalan ini sebagai sesuatu yang leceh, jika dilakukan dengan displin, anda pasti akan mendapat faedah dan menikmati kebaikannya.