Elak Penyebaran Virus Covid-19 Dengan Buang Pelitup Muka Menggunakan 4 Langkah Ini

Memandangkan pelitup muka sudah menjadi sebahagian daripada norma baru sejak dunia dilanda pandemik Covid-19, kita sebagai individu juga harus bijak untuk membuangnya jika sudah menggunakannya.

Tak ramai yang sedar bahawa kegagalan untuk membuang pelitup muka dengan cara yang betul akan meningkatkan risiko jangkatan Covid-19 jika ada yang menyentuhnya.

“Semua sedia maklum, Covid-19 boleh menular kepada orang lain melalui kontak iaitu jika ada secara tidak sengaja menyentuh pelitup muka yang kotor yang mungkin mempunyai virus, mereka mungkin boleh dijangkiti,” demikian menurut Perunding di Pusat Nasional Penyakit Berjangkit Singapura, Dr. Wong Chen Seong seperti yang dilaporkan MediaCorp.

Ujarnya pelitup muka yang mempunyai titisan pernafasan di permukaannya meningkatkan penyebaran virus ke udara.

“Jika ia terdedah, dengan angin kencang, ada sedikit risiko penyebaran boleh berlaku menerusi titisan di udara.

“Membuang pelitup muka sesuka hati adalah menjijikkan dan boleh mendatangkan bahaya kepada orang lain,” ujarnya.

Berdasarkan kajian, virus boleh bertahan pada sesuatu permukaan dalam tempoh beberapa jam sehingga beberapa hari.

Ditambah pula dengan iklim panas dan lembap yang akan memanjangkan tempoh hayat virus berkenaan.

Pakar Penyakit Berjangkit, Pusat Pakar Mount Elizabeth Novena, Dr. Leong Hoe Nam berkongsi akedah terbaik untuk membuang pelitup muka.

  1. Mencuci tangan sebelum menanggalkan pelitup muka kerana menyentuh muka dengan tangan yang tidak dicuci akan menyebabkan seseorang lebih mudah diserang penyakit.
  2. Tanggalkan pelitup muka dan lipatnya separuh ke dalam supaya titisan daripada mulut dan hidung tidak terdedah.
  3. Lipat pelitup itu lagi sehingga ia kelihatan seperti gulungan. Ia juga boleh dibalut dengan gelung telinga agar lipatan tidak terbuka.
  4. Pelitup muka sepatutnya dibungkus dalam sehelai kertas tisu sebelum membuangnya ke dalam tong sampah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *