‘HARIMAU JADIAN’ PENUNGGU PINTU MASUK KERINCHI

Penghijrahan masyarakat ‘Kerinci’ dari Sumatera ke Tanah Melayu membentuk satu perkampungan yang dinamakan Kampung Kerinchi yang wujud sehingga hari ini. Masyarakat itu popular dengan mitos Harimau Jadian sehingga menjadi lambing dan identiti mereka.

Sehubungan itu, dalam memperkenalkan keindahan tempat, sejarah dan warisan menarik itu, tiga lokasi utama Kampung Kerinchi telah dikenalpasti untuk dibina pintu gerbang berasaskan kepada reka bentuk harimau.

Perkara itu diumumkan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil selepas menghadiri ‘Ini Kerinchilah’ – Pertandingan Penyediaan Pelan Konsep Pembangunan Kampung Kerinchi di Universiti Malaya.

Tiga lokasi yang dikenalpasti adalah di hadapan KL Gateway, susur masuk dari Lebuhraya Baru Pantai (NPE) ke Jalan Pantai Permai dan susur masuk Jalan Pantai Murni di sebelah kubur Islam Area C, Pantai Dalam.

“Namun demikian, kajian perlu dilakukan terlebih dahulu terhadap beberapa elemen seperti budaya dan sejarah serta turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Arkitek Malaysia dan para sejarahwan selain Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam reka bentuk itu.

“Ia bukan mercu tanda atau pintu gerbang yang biasa, kami mahu apabila masyarakat melihat mercu tanda itu, mereka dapat merasai dan menjiwai semangat Kampung Kerinchi yang bakal menjadi identiti mereka.

“Bagaimanapun, kami telah berbincang dengan DBKL dan diharapkan projek pembinaan mercu tanda itu dapat dimulakan sekali dengan pelan trafik dan lalu lintas yang bakal dinaik taraf demi keselesaan penduduk Kampung Kerinchi dalam masa beberapa bulan akan datang,” ujarnya.