Demensia merupakan salah satu penyakit yang mengancam kesihatan terutama pada mereka yang sudah berusia.
Penyakit ini boleh mengancam kondisi otak seseorang terutama pada usia di lebih daripada 65 tahun.
Namun penyakit ini boleh juga mengancam mereka yang masih muda.
Demensia adalah penyakit yang menjejaskan otak, membawa kepada hilang ingatan secara berperingkat-peringkat, penurunan kepada keupayaan intelek dan perubahan personaliti.
Apakah tanda-tanda penyakit demensia?
- Sifat pelupa terhadap maklumat yang baru diterima
Pesakit demensia mungkin akan kerap lupa, terutama sekali maklumat baru, contohnya sesuatu yang baru sahaja anda beritahu mereka. Mereka mungkin akan menanyakan soalan yang sama berulang kali kerana mereka lupa bahawa anda sudah pun memberikan jawapannya.
- Keliru tentang masa dan tempat
Pesakit demensia mungkin lupa di mana mereka berada dan bagaimana mereka boleh berada di situ, mendapatinya sukar untuk ke tempat yang biasa mereka pergi seperti ke pasar. Mereka juga mungkin keliru tentang waktu dan perbezaan antara pagi, petang dan malam.
- Kurang atau lemah dalam pertimbangan
Pesakit demensia mungkin menunjukkan pertimbangan yang lemah, umpamanya membeli makanan lebih daripada yang mereka perlukan, memberi sejumlah wang yang banyak kepada orang yang tidak dikenali dan membahayakan keselamatan diri mereka seperti menjemput orang yang tidak dikenali ke rumah mereka.
- Kesukaran melakukan kerja yang biasa dilakukan
Pesakit demensia mungkin mengalami kesukaran mengendalikan wang, memasak atau menguruskan tugas- tugas rutin. Contohnya, mereka mungkin keliru cara-cara mencuci pakaian.
- Kesukaran berkomunikasi dan memahami maklumat
Pesakit demensia mungkin mengalami masalah dalam perbualan. Mungkin sukar untuk mereka mencari perkataan yang tepat bagi objek harian seperti sikat, dan menggantikannya dengan perkataan atau frasa yang ganjil, seperti “benda yang anda gunakan di rambut anda.”
- Kesukaran merancang atau menyelesaikan masalah
Pesakit demensia mungkin mengalami masalah membuat rancangan dan mengikutinya, contohnya membuat dan menggunakan senarai barang dapur, mengikut resipi atau memastikan pembayaran bil-bil bulanan.
- Tersalah meletak barang
Pesakit demensia mungkin tersalah meletak barang dan tidak berupaya mengingati di mana mereka telah meletakkannya. Mereka mungkin meletakkan barang di tempat yang ganjil seperti meletak kunci di dalam peti sejuk.
- Menarik diri daripada kerja atau aktiviti sosial
Pesakit demensia mungkin menjadi tidak aktif dan biasanya hilang minat dalam aktiviti yang sebelumnya suka dilakukan seperti catur, berjalan pantas atau berjumpa dengan kawan- kawan.
- Perubahan dalam ragam atau tingkah laku
Pesakit demensia boleh menunjukkan emosi yang berubah dengan pantas contohnya menjadi mesra dan penyayang beberapa minit selepas melenting marah.
- Perubahan dalam personaliti
Pesakit demensia boleh berubah personaliti secara mendadak, yang berbeza daripada perwatakan biasa mereka dan menjadi curiga, menjauhkan diri dan tidak percayakan keluarga dan kawan-kawan.

Jangan menganggap seseorang itu menghidap penyakit demensia hanya kerana terdapat beberapa tanda amaran.
Sesetengah keadaan seperti tekanan, gangguan hormon, kekurangan pemakanan dan jangkitan akan menunjukkan simptom yang serupa.
Jika anda mengesyaki bahawa anda atau seseorang yang anda kenali menghidap penyakit demensia, dapatkan nasihat daripada doktor keluarga anda untuk penilaian atau rujukan ke perkhidmatan pakar di hospital.
Sumber: Heath Promotion Brand Singapore