Di kala virus COVID-19 yang masih menjangkiti ramai individu dan menyumbang peningkatan kes kematian, amatlah penting untuk setiap dari kita mengamalkan amalan kebersihan dengan sebaiknya.
Apatah lagi virus COVID-19 boleh melekat di barangan yang kita gunakan setiap hari.
Jun lalu, pihak berkuasa di China memaklumkan menemui virus COVID-19 pada permukaan papan pemotong yang digunakan di dapur.
Jadi, sangat penting untuk kita sentiasa memberishkan alatan dan barangan kegunaan harian supaya ia tidak menjadi tempat pembiakan virus dan kuman.
Di bawah kami kongsikan empat barangan di dapur yang anda mungkin tidak terfikir untuk membersihkannya, namun sebenarnya boleh menjadi punca kepada penularan COVID-19 dan virus-virus berbahaya yang lain.
Ketuhar Gelombang Mikro

Ramai yang merasakan tiada keperluan untuk mereka membersihkan ketuhar gelombang mikro secara menyeluruh.
Satu kajian yang dilakukan oleh jenama barangan dapur Oliver’s Kitchen mendapati lapan daripada 10 pengguna di Britian tidak pernah membersihkan ketuhar gelombang mikro mereka secara menyeluruh.
Bagaimanapun 68 peratus ada terfikir untuk membeli yang baharu berbanding mencucinya dengan bersih.
Ketuhar gelombang mikro juga perlu dibersihkan secara menyeluruh untuk menghilangkan semua jejak SARS-CoV-2.
April lalu, kerajaan Perancis turut mengesyorkan pembersihan alatan itu secara kerap terutamanya bagi kegunaan di pejabat. Bagaimanapun, ketuhar gelombang mikro bukanlah alat untuk membunuh virus berbahaya itu.
Tuala Dapur

Menurut kajian yang diterbitkan pada 2018 oleh Persatuan Mikrobiologi Amerika, hampir separuh tuala dapur iaitu 48 peratus mengandungi bakteria.
Ini termasuklah koliform yang dikesan pada 36.7 peratus selepas sebulan digunakan, 36.7 peratus mempunyai enterokocci dan 14.3 peratus staphylococcus aureus.
Malah kajian dilakukan Oliver’s Kitchen mendapati 64 peratus penduduk Britian mengakui tidak pernah membersihkan tuala dapur dengan kerap.
Penyelesaian paling mudah: Rendam tuala dalam campuran air panas dengan cuka atau serbuk penaik sebelum cuci dalam mesin basuh.
Span

Kita digalakkan untuk menukar span yang digunakan untuk membasuh pinggan, mangkuk, periuk dan kuali serta alatan di dapur sekali seminggu.
Tahukah anda, span boleh menyimpan 362 jenis spesis bakteria termasuklah staphylococci, e.coli dan salmonella.
Menurut kajian, dapur dan bilik mandi adalah tempat di dalam rumah yang paling terdedah kepada pencemaran terbesar oleh pelbagai patogen dan ia adalah gara-gara span!
Papan Pemotong
Tahukah anda papan pemotong yang anda gunakan setiap hari menyimpan 200 kali ganda kotoran berbanding tempat duduk tandas anda.
Sentiasalah cuci dengan bersih papan pemotong anda apatah lagi yang anda gunakan setiap hari untuk memasak.