Berasal dari Teluk Parsi dan ditanam sejak zaman Mesopotamia ke zaman pra-sejarah Mesir, iaitu seawall 4000 Sebelum Masihi, ada pelbagai jenis kurma yang perlu anda tahu dengan tekstur dan rasa setiapnya yang berbeza.
Antara jenis kurma yang biasa terdapat di pasaran adalah Ajwa, Mabroom, Safawi, Medjool, Sayer, Mazafati, Zahidi, Deglet Noor dan bermacam lagi.

Malah, kurma juga boleh dikategorikan kepada empat tahap yang membezakan kematangannya.
Kurma khal merujuk kepada buah yang segar, masak keras dan rangup, manakala Kurma ruthob adalah buah yang separuh masa dan mempunyai tekstur antara rangup dan keras.
Kurma tamar pula adalah bagi buah yang sudah masak sepenuhnya dan kurma kimri pula adalah buah yang masih mentah.
Untuk pengetahuan anda, pohon kurma akan menghasilkan buah dalam tempoh lapan hingga sepuluh tahun selepas ditanam.
Setiap pokok kurma yang berusia 13 tahun akan menghasilkan sehingga 80 kilogram buah kurma setahun dan pokok itu sendiri boleh hidup mencecah 100 tahun.
Kurma sememangnya amat sinonim dengan bulan puasa. Kita dapat lihat para peniaga mula menjual buah yang juga makanan sunah ini apabila menghampiri Ramadan.
Kurma juga diibaratkan pelengkap kepada bulan mulia ini kerana ia akan menjadi sebahagian menu ketika bersahur dan berbuka puasa.
Umat Islam juga percaya bahawa kurma telah lama wujud sejak sebelum manusia dicipta.
Betapa pentingnya buah kurma ini juga turut disebut di dalam Al-Quran sebanyak 20 kali iaitu lapan kali secara berasingan dan 12 kali lagi disebut bersama beberapa buah-buahan lain seperti zaitun, anggur dan delima.
Mengapa Kita Disaran Makan Kurma?

Kurma merupakan buah yang kaya dengan serat, sekaligus amat baik untuk kesihatan kolon anda.
Apabila kolon berada dalam keadaan yang sihat, ini juga bermakna risiko untuk menghidap kanser kolon dan kolitis juga rendah.
Malah serat dalam makanan juga akan mengurangkan tahap kolestrol terutamanya kolestrol buruk. Ia juga mampu mengelakkan masalah obesiti.
Malah amalan memakan kurma juga mampu membantu anda menjaga kesihatan organ penting, iaitu jantung. Begitu juga dengan penyakit ‘membunuh’ yang lain seperti strok.
Kurma turut dikenali sebagai ‘makanan kesihatan berpotensi’ memandangkan ia menyediakan pelbagai nutrien yang penting dan bermanfaat.
Menerusi kajian saintifik, kurma mengandungi sekurang-kurangnya 15 bahan mineral, asid amino dan asid lemak tak tepu yang baik untuk badan.
Tulang dan darah dalam badan kita juga akan menyerap vitamin daripada kurma yang dimakan untuk menjadikannya lebih sihat dan kuat.
Memakan kurma pada setiap hari juga bagus untuk kesihatan dalaman anda memandangkan ia adalah gula semula jadi yang tinggi kandungan frustosa, glukosa dan sukrosa – menjadika ia sebagai penggalak tenaga segera.
Kadar penyerapan gula kurma ke dalam tubuh badan kita juga berlaku dalam tempoh yang cepat, iaitu antara 30 hingga 45 minit, menjadikan ia lebih baik berbanding pengambilan nasi yang mengambil masa sekurang-kurangnya sehingga empat jam untuk dicerna.
Sebab itulah ramai yang mengambil kurma ketika berbuka puasa dan bersahur untuk meningkatkan dan membekalkan tenaga sepanjang hari.
Kurma juga bagus untuk kesihatan sistem saraf di dalam badan, terutama dalam meningkatkan kepantasan dan ketajaman aktiviti otak.
Bukan hanya sedap dimakan begitu sahaja, anda juga boleh mempelbagaikan cara memakan kurma mengikut selera anda.
Ada yang suka mencampurkan hirisan kurma ke dalam bijirin khasiat, ada juga yang gema rmenjadikan ia sebagai susu kurma.
Secara umumnya, kurma mempunyai pelbagai manfaat kesihatan yang terbaik bagi badan anda, apatah lagi ketika bulan puasa untuk menjadikan anda kekal bertenaga untuk menunaikan ibadah.