Anda bakal bergelar ibu dan bapa tak lama lagi?
Tahniah kami ucapkan, pastinya hari-hari untuk menunggu kelahiran si manja pastinya diisi dengan penuh debaran, keterujaan dan keseronokan.
Maklumlah, setelah berkahwin pastinya setiap pasangan suami isteri mahu menimang cahaya mata.
Namun dalam keghairahan menyambut orang baru, ada beberapa perkara yang perlu anda pelajari. Terutamanya bagi anda yang pertama kali bergelar ibu dan bapa.

Mungkin ada yang berasa takut atau risau bagaimana hendak cuci uri buat pertama kali, kan? Jangan risau, jangan panik.
Di sini kami akan kongsikan panduan lengkap untuk mencuci uri mengikut kaedah Islam.
Teknik yang betul ketika mencuci uri bayi bersamaan dengan usaha kita menjaga etika sebagai penganut Islam.
Langkah 1
Sediakan bahan dan perkakas lengkap.
Antara bahan untuk basuh uri yang diperlukan itu adalah:
Uri
Garam
Asam Jawa
Kain Putih
Sarung tangan
Besen
Pelitup muka
Langkah 2
Setelah siap sedia semua bahan untuk basuh uri bayi ini,
Sekarang bolehlah kita mula dengan bacaan Basmalah.
Langkah 3
Pakai sarung tangan dan topeng muka dahulu.
Kemudian pindahkan uri bayi daripada bungkusan ke dalam besen yang telah disediakan.
Langkah 4
Lumurkan garam pada bahagian dalam uri dan biarkan sekejap.
Proses ini adalah untuk mencairkan darah yang telah beku.
Langkah 5
Sementara menunggu darah beku itu menjadi cair, anda boleh membasuh dulu bekas plastik bungkusan uri tadi.
Buat sehingga betul-betul bersih memandangkan plastik tersebut kita akan buang ke pelupusan sampah.
Buang segala lebihan darah yang wujud supaya dapat mengelakkan bau busuk, selain menarik perhatian benda asing terutamanya haiwan seperti anjing, kucing dan sebagainya.
Langkah 6
Kembali semula pada uri yang telah di lumur dengan garam tadi.
Saat ini alirkan air secara terus pada uri untuk melarutkan darah dan memisahkan kotoran yang ada pada uri.
Gunakan juga asam jawa untuk proses ini.
Langkah 7
Gosok permukaan uri secara keliling dari luar ke dalam dengan menghala ke arah tali pusat.
Langkah 8
Kemudian urut pula tali pusat dari pangkal hingga ke hujung supaya sisa darah yang ada dapat keluar melalui hujung tali pusat.
Hati-hati kerana proses ini boleh buat darah terpercik ke muka!
Langkah 9
Sekarang ini gosok pula pada bahagian dalam uri dengan lakukannya secara perlahan-lahan.
Lakukan proses ini dengan lemah lembut untuk mengelakkan uri daripada terkoyak.
Jika bahagian dalam terkoyak ia dikhuatiri akan terlerai segala isi uri.
Setelah siap, toskan sekejap.
Langkah 10
Sementara menunggu lebihan air turun, anda boleh membentang kain putih untuk langkah terakhir iaitu proses membalut.
Langkah 11
Setelah uri siap ditoskan, letakkan uri di atas kain putih yang telah dibentangkan.
Taburkan garam ke bahagian dalam uri secara menyeluruh.
Ingat ya, jangan diletakkan benda-benda asing ke dalam uri seperti paku, pensil, besi, gunting dan sebagainya melain ada alasan saintifik yang kukuh.
Dibolehkan untuk meletakkan garam atau limau nipis untuk membantu menghilangkan bau hanyir darah atau membantu uri untuk mudah kecut.
Langkah 12

Ikat bungkusan uri tadi dalam bentuk bunjut dengan kemas.
Panduan ini merupakan perkongsian daripada Ustaz Basri di sini.
Yang PENTING,
Uri ini adalah sebahagian daripada bayi dan ibu.
Oleh itu ia perlu diberi penghormatan dan kemuliaan
Basuh cuci tanam uri dengan tertib.
“Dari tanah kita diciptakan
Kepada tanah jua kita dikembalikan.”