
Ramai wanita beranggapan pengambil apa jua kaedah perancang keluarga akan menyebabkan berat badan mereka mudah naik.
Malah ada juga suami yang mengadu kononnya si isteri semakin kurang keinginan dalam hubungan seksual selepas mengambil perancang.
Bahkan ada juga yang berpendapat kaedah ini akan menyukarkan peluang mereka untuk menambah cahaya mata apabila sudah bersedia.
Benarkah semua ini?
Tak ramai yang sedar bahawa perancang keluarga boleh meningkatkan kualiti hidup golongan wanita.
Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr John Teo Beng Ho tidak menolak beberapa kesan sampingan yang dihadapi wanita apabila mengamalkan perancang, seperti perubahan emosi, sakit kepala, masalah kulit dan kurang keinginan seksual.
Namun ia bukanlah punca utama selepas pengambilan perancang.

“Dianggarkan 10 peratus wanita mungkin mengalami sakit kepala lazimnya dialami ketika kitaran pertama dan mereka yang berusia 35 tahun.
“Secara amnya, wanita sihat boleh menggunakan pil perancang tanpa sebarang masalah,” katanya.
Berdasarkan kajian, lebih dari seorang daripada lapan wanita berkahwin mahu mengelak daripada hamil tetapi tidak menggunakan sebarang perancang keluarga.
Sebanyak 26 peratus takut dengan kesan sampingan, 24 peratus mendakwa jarang melakukan hubungan intim, 20 peratus mendakwa menyusu bayi dan lima peratus pula tidak mempunyai capaian perancang keluarga.
Dakwaan bahawa kaedah perancang menjejaskan hubungan seksual sebenarnya tidak tepat.
Namun jika keadaan ini berlarutan selama tiga bulan, adalah dinasihatkan untuk menukar kaedah perancang yang lain.
Kajian Cochrane pada 2011 menerusi analisa ke atas 49 kajian di seluruh dunia pula mendapati perancang hormon tidak meningkatkan berat badan berbanding wanita yang menggunakan placebo (bukan perancang).
Begitu juga dengan tahap kesuburan wanita yang mengambil perancang. Jurnal Fert & Sterility 2009, mendedahkan 80 sehingga 90 peratus wanita hamil setahun selepas berhenti menggunakan perancang keluarga. Tahap kesuburan mereka seperti wanita yang tidak pernah mengambil perancang keluarga.

Dalam soal pengambilan perancang memberi kesan kepada kuantiti susu ibu, kajian Cochrane (Kumpulan penyelidik dan perubatan dari British) mendapati tiada bukti berkaitan perkara ini.
Bagaimanapun, enam bulan pertama selepas bersalin, pil gabungan hormon tidak digalakkan kepada ibu kerana risiko darah beku pada kaki atau dikenali sebagai thrombosis.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan penggunaan perancang keluarga dengan gabungan hormon selepas atau bersamaan enam minggu selepas melahirkan, enam minggu sehingga kurang atau bersamaan enam bulan selepas bersalin.
Sumber asal artikel di sini.