RAKYAT PAHANG RAI PEMASYHURAN TENGKU AMPUAN, TENGKU MAHKOTA

PEKAN: Sejarah tercipta bagi institusi diraja Pahang hari ini dengan pemasyhuran Tengku Ampuan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang dalam istiadar yang berlangsung di Balairung Seni, Istana Abu Bakar, jam 10.30 pagi.

Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar bakal dimasyhur sebagai Tengku Ampuan Pahang manakala Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dimasyhur sebagai Tengku Mahkota Pahang yang baharu.

Pelantikan kedua-duanya diputuskan oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Pahang pada Selasa lalu.

Tunku Azizah diputerikan pada 5 Ogos 1960 di Istana Bukit Stulang Johor Bahru, Johor. Baginda ialah Tengku Ampuan Kelima dalam era moden kesultanan Pahang. Gelaran itu khas kepada permaisuri kepada pemerintah atau sultan semasa yang mempunyai darah diraja sebagaimana yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang.

Sementara itu Tengku Hassanal diputerakan pada 17 September 1995 di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Pahang, menggantikan ayahandanya yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Januari lalu.

Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah

https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/01/525199/institusi-diraja-pahang-tempa-sejarah-pemasyhuran-tengku-ampuan-tengku