Tak Salah Pertimbang Hasrat Tangguh Hamil Di Fasa Endemik COVID-19

Mungkin ada dalam kalangan kita hilang rasa teruja untuk mendapatkan cahaya mata pada hari ini, meskipun kes harian COVID-19 sudah makin berkurangan.

Apatah lagi dengan kemunculan varian baru Omicron, sedikit sebanyak ia pasti mengganggu perancangan pasangan suami isteri sama ada untuk menimbang cahaya mata pertama atau menambah bilangan anak.

Bukan sahaja faktor kesihatan, ada beberapa lagi faktor lain yang menyumbang ketidaktentuan ini, sama ada dari segi ekonomi dan sosial.

Kos penjagaan dan membesarkan anak juga semakin meningkat, kos nurseri dan tabungan simpanan anak-anak, begitu juga penguncupan ekonomi isi rumah jika salah seorang kehilangan punca pendapatan.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Harlina Halizah Siraj, berkata dalam keadaan sukar, lebih baik suami isteri berbincang secara mendalam mengenai perancangan untuk memiliki zuriat demi kesejahteraan keluarga.

“Kepentingan merancang keluarga amat meruncing dalam konteks pandemik ini yang mana jika berbuat demikian tidak bermakna mereka menolak anak, tetapi penting untuk memastikan kehamilan berlaku secara optimum.

“Jadi dalam soal ini, kedua-dua pihak perlu sependapat mengenai pencegahan kehamilan kerana pada umumnya kaedah semula jadi seperti kiraan waktu subur, membuang air mani di luar tetap berisiko (gagal) dan membuatkan wanita hamil,” katanya.

Dr Harlina Halizah berkata, meskipun pasangan sudah mengamalkan kaedah semula jadi akan timbul keadaan hamil tanpa dirancang berikutan kaedah diambil tetap berupaya membuatkan jutaan sperma memasuki organ reproduktif wanita.

“Begitu juga ibu yang menyusukan bayi mereka tetap berpotensi hamil lagi, walaupun tidak didatangi haid, terutama ibu yang mengepam susu dan tidak memberikan secara langsung kepada bayi berikutan tempoh empat hingga enam jam itu, boleh terjadi kehamilan tidak dirancang.

“Sementara bagi kaedah bukan semula jadi seperti prosedur pemandulan, pemotongan kedua saluran tiub fallopio wanita serta prosedur vasektomi bagi lelaki supaya tiada sperma dalam air mani boleh dilakukan,” katanya.

Katanya, kaedah berbalik pula lazimnya mempunyai jangka masa pendek dan panjang seperti pil hormon, kombinasi pil, suntikan, tampalan, cecincin dalam vagina serta kaedah mekanikal menggunakan kondom, selain memasukkan alat dalam rahim.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati kira-kira dua hingga tiga juta kehamilan tidak dirancang ketika pandemik COVID-19 ini disebabkan terputus bekalan pil perancang, jadi merancang keluarga adalah langkah perlu, terutama jika ada kekangan ekonomi supaya tidak berlaku kemudaratan lain.

“Dari sudut perubatan, merancang keluarga adalah tanggungjawab suami isteri untuk membuat keputusan mengenai kesesuaian masa, jarak kehamilan dan bilangan anak dikehendaki, sama ada dengan menggunakan kaedah kontraseptif atau rawatan kesuburan,” katanya.

Dengan merujuk data WHO pula, perancangan keluarga dapat mencegah kira-kira satu pertiga kadar kematian berkaitan kehamilan serta 44 peratus kematian bayi, berikutan masa dan jarak kehamilan, iaitu sekurang-kurangnya dua tahun antara kelahiran diperlukan untuk mencegah hasil kehamilan yang buruk, termasuk kadar kelahiran bayi pramatang dan insiden malnutrisi serta bantut dalam kalangan kanak-kanak.

Justeru, perancangan keluarga adalah kaedah yang efektif dan berkesan untuk memastikan kehidupan yang berkualiti bagi seorang wanita, meningkatkan taraf sosioekonomi serta strategi yang terbukti berkesan dalam mengurangkan kadar kematian ibu.

Di Malaysia, perkhidmatan perancangan keluarga sudah bermula sejak tahun 1970-an, dimana ia merupakan komponen utama perkhidmatan kesihatan ibu dan anak.

Perkhidmatan kesihatan ini memberi keutamaan kepada kesihatan ibu dan anak, seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan keluarga.

Bagaimanapun LPPKN menyedari cabaran dalam penyampaian maklumat perancangan keluarga di negara ini, mendapati Malaysia menunjukkan kadar penggunaan kontraseptif terendah pada kadar 52.5 peratus berbanding negara Asia lain.

Kadar keperluan tidak tercapai juga pada paras tertinggi, iaitu 19.6 peratus dengan kadar wanita yang ingin mengehadkan kehamilan tanpa penggunaan kontraseptif ialah pada 13.4 peratus, manakala kadar wanita menjarakkan kehamilan tanpa apa-apa kaedah kontraseptif (6.2 peratus), iaitu bermakna, satu daripada lima wanita di negara ini keperluannya tidak tercapai.